Seo Services

Kerajaan Sabah Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga Bernard Then


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini merakamkan ucapan takziah yang mendalam, bagi pihak kerajaan negeri, kepada keluarga mendiang Bernard Then Ted Fen yang dibunuh kumpulan Abu Sayyaf yang menculiknya, di selatan Filipina.

"Kami berusaha sedaya upaya untuk merundingkan pembebasan beliau namun malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

"Oleh itu, saya menggesa semua pihak berkaitan, termasuk rakan sejawatan kami di Filipina, supaya memberi kerjasama penuh mereka dan menumpukan semua usaha ke arah memburu petualang ini dan menghapuskan mereka buat selama-lamanya," kata Musa menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media asing melaporkan bahawa Bernard Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dipenggal kepalanya kira-kira 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf yang terpencil di pulau Jolo di wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila.

Then dan seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, diculik empat lelaki bersenjata, yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada 7.45 malam pada 14 Mei lepas.

Bagaimanapun, pada 8 Nov, Thien, pengurus restoran itu, dibebaskan oleh penculiknya berikutan rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan penculiknya.

-- BERNAMA
Kerajaan Sabah Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga Bernard Then Kerajaan Sabah Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga Bernard Then Reviewed by Unknown on November 18, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.