Seo Services

PBT & JPS Buat Persiapan Tangani Kesan Banjir


KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah membuat persiapan rapi bagi mengurangkan kesan akibat banjir di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, antara pendekatan yang dilakukan ialah JPS kini menggunakan pusat kawalan Sistem Pengesanan Banjir (Smart), berfungsi secara optimum bagi menghadapi hujan lebat yang dijangka kerap berlaku pada waktu ini diiringi peningkatan risiko banjir.

“Bagaimanapun, pihak berkenaan perlu lebih prihatin dengan keadaan semasa terutamanya pada musim tengkujuh seperti memantau kenaikan air sungai dan laut,” katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata tindakan itu perlu diambil kira dalam membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana alam seperti banjir yang telah melanda beberapa kawasan di Semenanjung ketika ini.

Pada majlis sama, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta turut dilancarkan bagi memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.

Beliau berkata:”Tabung ini boleh menerima peruntukan kerajaan, sumbangan dari mana-mana pihak sama ada perseorangan, pihak swasta, institut-institut atau mana-mana entiti dalam dan luar negara bagi membiayai aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengurusan, perlindungan, adaptasi dan mitigasi kepada perubahan iklim, kesedaran dan usaha-usaha konservasi di dalam negara.

Melalui dana ini, agensi kerajaan, insitut penyelidikan, pusat pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, organisasi komuniti dan awam boleh memohon untuk menggunakan dana NCTF ini untuk memberi fokus kepada pengurusan sumber asli, penyelidikan dan pembangunan kapasiti serta mekanisme pembiayaan berkekalan ke arah usaha konservasi sumber asli, katanya. – BERNAMA
PBT & JPS Buat Persiapan Tangani Kesan Banjir PBT & JPS Buat Persiapan Tangani Kesan Banjir Reviewed by uMieySurianie on November 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.