Seo Services

Pemimpin Masyarakat Perlu Belajar Ilmu Tadbir Urus


SRI AMAN: Setiap tuai rumah mahupun pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi harus mempunyai ilmu pengetahuan meluas dalam pelbagai bidang sebagai asas pentadbiran kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, setiap tuai rumah atau pemimpin yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang mampu bersaing meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat.

Beliau menegaskan bahawa mereka dipilih sebagai tuai rumah mahupun pemimpin masyarakat harus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab, jujur serta amanah agar setiap agenda pembangunan kerajaan mampu dilaksanakan dengan baik.

“Sebagai tuai rumah atau pemimpin masyarakat, mereka harus saling bergandingan antara satu sama lain. Atau berkongsi setiap masalah dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik agar tidak mengganggu ketenteraman dan keharmonian yang sedia wujud,” katanya.

Jelasnya, mereka perlu peka dengan setiap masalah yang timbul dan jangan sesekali menyembunyi masalah daripada pengetahuan rakyat kerana jika masalah tidak diselesai, ia pasti memberi impak negatif.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Sarawak berkata demikian ketika berucap menangguhkan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak Bahagian Si Aman di Hotel Seri Simanggang di sini, semalam.

Selain itu katanya, setiap tuai rumah dan pemimpin masyarakat digalak menjalin hubungan rapat dengan pelbagai agensi kerajaan supaya setiap masalah yang timbul dapat diselesaikan.

“Selain itu, tuai rumah dan pemimpin masyarakat harus bijak menggunakan khidmat serta bantuan yang telah diwujudkan oleh agensi kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.

“Pemimpin masyarakat hendaklah mengikis sikap malu untuk berdepan dengan agensi kerajaan dan jangan sesekali mendiamkan masalah yang wujud supaya agensi kerajaan terbabit dapat membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Jelasnya, setiap agensi kerajaan diwujudkan sebagai agensi pemudah cara untuk rakyat, justeru mereka perlu faham dan menggunakan khidmat serta bantuan yang disalur sebaik mungkin.

Turut hadir wakil Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri Wan Akil Wan Bujang, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Dalam Negeri Whelthon Lumpoi, Timbalan Residen Pembangunan Bahagian Sri Aman Philip Peter Salam serta yang lain.

Dalam pada itu, 530 pemimpin masyarakat yang terdiri daripada tuai rumah,ketua kampung, setiausaha dan bendahari JKKK menyertai seminar selama dua hari berkenaan.

Objektif utama seminar berkenaan diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan peranan dan tanggungjawab JKKK dalam membangunkan desa dan masyarakat dengan kemahiran merancang dan menilai keberkesanan projek pembangunan kampung.-UB
Pemimpin Masyarakat Perlu Belajar Ilmu Tadbir Urus Pemimpin Masyarakat Perlu Belajar Ilmu Tadbir Urus Reviewed by Unknown on November 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.