Seo Services

Taman Periuk Kera Berpotensi Tarik Pelancong

KUCHING: Taman Periuk Kera yang terletak di pekan Kota Padawan, kira-kira 16 kilometer dari bandar raya ini berpotensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, kawasan itu yang dahulu dalam keadaan terbiar kini berubah wajah hasil komitmen padu semua pihak khasnya apabila Unit Pelancongan MPP memberi nafas baharu kepada taman itu sejak mengambil alih daripada Bahagian Landskap pada Mac lalu.

“Hasil kerjasama semua pihak dalam MPP, kami berjaya merealisasikan impian untuk memperindahkan Taman Periuk Kera yang merupakan satu-satunya taman seumpamanya di Sarawak.

“Saya dapat melihat kawasan ini yang suatu ketika dahulu sunyi, akan dibanjiri para pengunjung dan menjadi tempat pelancongan popular di kalangan pelancong,” katanya pada sidang media di Taman Periuk Kera di Batu 10, Kota Padawan di sini, semalam.

Lo berkata kawasan seluas satu ekar itu menampilkan lebih 35 spesies periuk kera serta subspesies yang terdiri daripada spesies biasa dikenali Nepenthes dari seluruh Kepulauan Borneo.

Antara yang terbesar adalah dikenali sebagai Nepenthes Rafflesia yang mempunyai keupayaan untuk menyimpan satu liter cecair manakala yang paling kecil dikenali sebagai Nepenthes Gracilis.

Selain periuk kera katanya, taman itu turut memaparkan koleksi orkid liar serta tumbuhan-tumbuhan eksotik liar lain yang jarang ditemui tetapi dijumpai di Padawan sendiri.

Di samping itu, tapak taman itu turut menempatkan taman yang dihiasi dengan barangan kitar semula.

“Kami merancang mengadakan pameran periuk kera termasuk dari wilayah ASEAN lain serta daripada spesies tanah tinggi kita sendiri dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa kesemua periuk kera adalah spesies dilindungi di Sarawak di mana individu yang didapati merosakkan atau mencuri tumbuhan itu di taman berkenaan boleh dikenakan denda RM500.

Taman itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pusat Hidupan Liar Semenggok, empat kilometer dari Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) serta di jalan masuk ke beberapa inap desa menarik di Padawan bakal dilancarkan pada 28 November ini.

Dalam tempoh 1 hingga 5 Disember, tidak ada sebarang caj dikenakan untuk setiap kemasukan dan selepas itu, warganegara Malaysia perlu membayar caj minimum sebanyak RM3 sebagai yuran kemasukan manakala pelancong perlu membayar RM6.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang bayaran akan dikenakan terhadap pemandu pelancong dan pemandu teksi.

“Kami juga akan menawarkan yuran kemasukan istimewa untuk para pelajar sekolah atau yang ingin masuk ke taman ini bagi tujuan pendidikan,” katanya. -UB

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Unit Pelancongan MPP di talian 082-615566 atau faks 082-611832.
Taman Periuk Kera Berpotensi Tarik Pelancong Taman Periuk Kera Berpotensi Tarik Pelancong Reviewed by Unknown on November 19, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.