Seo Services

Wajar Pertimbang Iktiraf UEC, Elak Cerdik Pandai Pergi Ke Negara Lain


Putrajaya wajar mempertimbangkan polisi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, polisi tidak mengiktiraf UEC boleh menyebabkan golongan cerdik pandai dari negara ini pergi ke negara-negara yang mengiktiraf kelayakan berkenaan.

“Kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf UEC tetapi di universiti atau negara luar mereka melakukannya, hanya negara kita sahaja yang tidak mengiktiraf dan ini satu pembaziran.

“Saya tidak peduli apa yang dilakukan kerajaan persekutuan kerana saya mengiktiraf UEC di Sarawak,” ujarnya ketika berucap merasmikan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2015 yang dihadiri Menteri Muda Pelancongan yang juga Pengerusi SEDC Datuk Talib Zulpilip di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie, Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini dan Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Pada September lepas, Sarawak mengumumkan bersetuju secara prinsipnya supaya UEC sebagai kelayakan untuk memasuki perkhidmatan awam dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang merupakan universiti awam.

Bagaimanapun, Adenan memberikan beberapa syarat tambahan, seperti graduan sekolah persendirian Cina perlulah orang Sarawak dan mereka perlu lulus dengan kepujian Bahasa Malaysia untuk menyertai perkhidmatan awam atau memasuki UNIMAS.

Putrajaya tidak mengiktiraf UEC kerana ia tidak mengikut kurikulum pendidikan negara dan antara universiti antarabangsa yang mengiktiraf UEC ialah Universiti Oxford, United Kingdom.

Menurut Adenan, gesaan itu dibuat kerana sekolah-sekolah Cina juga mampu melahirkan golongan cerdik pandai yang boleh menyumbang kepada negara.

“Tidak seperti di Semenanjung, di sini ada sekolah persendirian Cina mempunyai 90 peratus pelajarnya adalah Bumiputera. Tetapi kenapa pula kita menafikan sijil mereka dan saya berasa polisi Putrajaya tidak mengiktiraf UEC adalah tidak bijak,” katanya. - UB
Wajar Pertimbang Iktiraf UEC, Elak Cerdik Pandai Pergi Ke Negara Lain Wajar Pertimbang Iktiraf UEC, Elak Cerdik Pandai Pergi Ke Negara Lain Reviewed by Unknown on November 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.