Seo Services

#DUNSarawak : Kampus Muzium Sarawak Kini Di Peringkat Pelaksanaan


KUCHING:Kampus Muzium Sarawak yang baharu, projek terbesar pernah dilaksanakan Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bernilai RM308 juta kini di peringkat pelaksanaan.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata Kampus Muzium Sarawak dibina di atas tapak bangunan Dewan Tun Abdul Razak.

“Bangunan Dewan Tun Abdul Razak telah dirobohkan dan Kampus Muzium Sarawak akan dibina di atas tapak itu.

“Projek yang dibahagikan kepada dua fasa dijangka siap pada 2020,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Sosial pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Mawan berkata kampus itu akan dilengkapi Pusat Penyelidikan dan Pemeliharaan untuk kegunaan pelajar dan penyelidik dari seluruh negara malah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Baru-baru ini kerajaan negeri menandatangani perjanjian persefahaman dengan tiga institusi terkemuka iaitu The British Museum, The Natural History Museum, London dan The Reinwardt Academy Amsterdam yang menunjukkan kerajaan serius untuk mencapai status kelas dunia dalam muziulogi.

“Menerusi persefahaman dan kerjasama ini, staf Muzium Sarawak akan ditempat dan dilatih di institusi-institusi ini bagi memenuhi kompetensi setanding piawaian antarabangsa,” jelasnya.

Beliau memberitahu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) JMS akan melaksanakan tujuh projek pembangunan, lima merupakan kerja-kerja pemeliharaan dan menaik taraf kubu-kubu lama yang dibina semasa era Brooke.

Manakala dua lagi projek ialah pembangunan Taman Arkeologi Santubong dan Pemulangan Artifak Bersejarah yang ketika ini di bawah penjagaan institusi-institusi di luar negara, tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mawan berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak melalui beberapa program ke arah penyampaian perkhidmatan lebih baik, mesra rakyat dan sampai kepada kumpulan sasaran telah dan akan melaksanakan beberapa program seperti Pusat Cetakan MyKad Teragih, Bas Mobile dan Pasukan Petugas Khas.

“Bas Mobile JPN telah mengadakan operasi di Miri, Sungai Asap, Serian, Samarahan dan Kuching dan setakat 31 Oktober 2015 telah memberi perkhidmatan kepada 752 orang,” katanya.

Mengenai isu keadaan Kompleks Sukan Sarikei, beliau menafikan kerja-kerja membaik pulih kompleks tidak dilakukan seperti didakwa Dr Wong Hua She (DAP-Repok).

Malah ujarnya, enam bulan lalu, kementerian itu telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk memperbaiki kompleks sukan tersebut, bagaimanapun disebabkan peredaran masa keadaannya terutama laluan berlari rosak dan memerlukan kerja-kerja membaik pulih melibatkan kos yang tinggi.

“Perkara seperti ini tidak hanya berlaku ke atas Kompleks Sukan Sarikei tetapi kompleks-kompleks sukan yang lain.

“Bagaimanapun kementerian akan melakukan kerja-kerja membaik pulih Kompleks Sukan Sarikei termasuk laluan berlari di bawah RMK11,” ujarnya. -UB 
#DUNSarawak : Kampus Muzium Sarawak Kini Di Peringkat Pelaksanaan #DUNSarawak : Kampus Muzium Sarawak Kini Di Peringkat Pelaksanaan Reviewed by Unknown on December 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.