Seo Services

Malaysia Komited Kekal 50% Kawasan Hutan – Wan Junaidi


PUTRAJAYA – Malaysia komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan hutannya selaras dengan perjanjian yang ditandatangani 195 negara pada Persidangan Iklim Paris 2015 (COP21) Sabtu lepas, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Beliau yang mewakili negara pada persidangan itu berkata langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan hutan akan dipertingkatkan sebagai satu daripada pendekatan utama negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Katanya antara inisiatif utama dalam pendekatan itu adalah program Central Forest Spine (CFS) di Semenanjung Malaysia dan Heart of Borneo di Sabah dan Sarawak.

“Melalui CFS ini kita mewujudkan koridor yang akan menggabungkan beberapa kluster hutan yang memerlukan reforestation (penanaman semula) dan pengisytiharan sebagai hutan kekal.

“Bagi koridor di Borneo pula kita mendapatkan kerjasama daripada Indonesia dan Brunei. Malah Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem) juga telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi memberikan lesen kepada konsesi pembalakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pelaksanaan CFS membabitkan 4.32 juta hektar dan enam juta hektar bagi Heart of Borneo telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10.

Wan Junaidi berkata Malaysia juga komited untuk mengurangkan tahap pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Katanya Malaysia telah mengemukakan perkara itu dalam Sumbangan Ditentukan Negara Seperti Yang Dihasratkan (INDC) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Beliau berkata daripada keseluruhan sasaran pengurangan itu, 35 peratus akan dilaksanakan tanpa syarat manakala baki 10 peratus lagi adalah bersyarat dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.

“Kita harus mengurangkan penggunaan gas hydrofluorocarbon dan hydrochlorofluorocarbon yang memerlukan alternatif sebab kita pengeluar barangan elektronik seperti pendingin hawa, peti sejuk dan sebagainya. Jadi kita memerlukan aspek pemindahan teknologi supaya industri itu tidak terjejas,”
katanya.

Wan Junaidi berkata menerusi prinsip “tanggungjawab bersama tetapi bentuknya berbeza”, negara maju harus memberi sumbangan kewangan dan pemindahan teknologi bagi membantu negara sedang membangun mengurangkan penggunaan bahan-bahan berbahaya kepada alam sekitar.

Semalam, Menteri Luar Perancis Laurent Fabius selaku presiden COP21, mengumumkan kejayaan bersejarah termeterainya Perjanjian Perubahan Iklim Paris.

Melalui perjanjian itu semua 195 negara terlibat berikrar untuk memastikan peningkatan suhu purata bumi kurang daripada dua darjah Celsius iaitu sehingga 1.5 darjah Celsius berbanding zaman praindustri. – BERNAMA
Malaysia Komited Kekal 50% Kawasan Hutan – Wan Junaidi Malaysia Komited Kekal 50% Kawasan Hutan – Wan Junaidi Reviewed by uMieySurianie on December 14, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.