Seo Services

Perkembangan Misi XPDC Kutub Selatan Shahrom

Selepas Tertangguh dua minggu akibat cuaca buruk di Messner Inlet, Penjelajah Negara ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah akhirnya memulakan misi penjelajahannya.

Shahrom menerusi mesej khidmat pesanan (SMS) ringkasnya kepada sekretariat Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia Rentas Kutub Selatan 2015 awal pagi semalam memaklumkan, pesawat khas dari Union Glacier akhirnya dibenarkan terbang ke Messner Inlet sebaik cuaca disana dilaporkan baik dan selamat untuk pendaratan pesawat.

Menurut Penasihat Misi Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Shahrom mendarat di Messner Inlet tepat jam 12.40 petang semalam waktu tempatan atau 11.40 malam tadi waktu Malaysia.

"Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Shahrom akhirnya dapat memulakan misi penjelajahannya ke titik kosong darjah Kutub Selatan selepas dua minggu terkandas di Union Glacier berikutan cuaca yang tidak mengizinkan di Messner Inlet sebelum ini".

Tambah Datuk Akmar, walaupun misinya tertangguh, mental dan fizikal Shahrom tidak terjejas kerana beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan sejak dari awal lagi dan amat memahami sebarang situasi yang akan mengganggu kelancaran misi penjelajahannya itu.

Katanya lagi, Shahrom sememangnya mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang cukup kuat kerana latar belakangnya sebagai seorang atlet sukan lasak duathlon dan triathlon, sekaligus diyakini dapat mengharungi segala rintangan dalam usahanya mencipta satu lagi sejarah untuk negara ini iaitu menjadi rakyat Malaysia pertama menjelajah dengan ski ke Kutub Selatan sejauh 1000 kilometer.

Sementara itu, menurut Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, sebaik mendarat di Messner Inlet, Shahrom terus memulakan perjalanannya sejauh 8 kilometer.

"Saya dimaklumkan bahawa Shahrom memulakan misi penjelajahannya sejauh 8 kilometer sebaik mendarat di Messner Inlet dan beliau mengambil masa selama tiga jam untuk menamatkan jarak itu untuk hari pertama".

Menurut Qobin lagi, esok Shahrom akan menggandakan tempoh masa penjelajahannya dari tiga jam kepada enam jam dan seterusnya pada hari berikutnya akan meningkat lagi kepada lapan jam sehari.

"Hari pertama semalam saya rasa sudah cukup bagus bagi Shahrom yang berjaya menamatkan perjalanannya sejauh lapan kilometer dalam masa tiga jam dan itu saya anggap sebagai sesi penyesuaian diri bagi Shahrom untuk mendapat rentak dan kelajuannya berski di atas permukaan salji di benua paling sejuk itu", jelas Qobin.

Shahrom dalam penjelajahannya ke Kutub Selatan menerusi misi yang dikelolakan oleh Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), untuk mencipta satu lagi rekod baru anak Malaysia dipersada antarabangsa.

Misi Dinamakan Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada awal bulan Julai lalu.

Dalam misi ekspedisi itu, Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang akan membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan untuk diminum sebagai air hidrogen beralkali khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu.

Shahrom yang berlepas dari tanahair ke Punta Arenas, Chile pada 12 November lalu, turut terkandas di Punta Arenas kerana cuaca tidak mengizinkan di Union Glacier.

Sebaik berjaya memasuki Union Glacier dengan pesawat komersial pertama melakukan penerbangan masuk ke Union Glacier, Shahrom terkandas lagi selama dua minggu disitu untuk ke Messner Inlet.
Perkembangan Misi XPDC Kutub Selatan Shahrom Perkembangan Misi XPDC Kutub Selatan Shahrom Reviewed by Admin on December 11, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.