Seo Services

Syarikat Penerbangan Hong Kong Minat Lancar Penerbangan Ke Kuching


KUCHING: Syarikat penerbangan dari Hong Kong, berminat untuk melancarkan penerbangan terus berjadual ke sini, kata Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg.

Abang Johari berkata kementerian telah memuktamadkan rundingan dengan syarikat tersebut dan memorandum persefahaman akan ditandatangani pada 18 Dis.

Katanya Hong Kong merupakan hab strategik dengan sambungan yang baik antara selatan China, Korea Selatan dan Jepun, dan sektor HK-Kuching akan membawa lebih ramai pelancong China ke negeri ini, memandangkan warga China sentiasa mengunjungi Hong Kong sebelum ke luar negara.

"Kemudahan e-visa untuk pelancong China, yang akan dilaksanakan mulai 2 Jan, 2016 akan terus meningkatkan sektor pelancongan Malaysia," katanya dalam ucapan penggulungan beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Mengenai pelancongan negeri, Abang Johari berkata, penurunan ketibaan pelancong di peringkat negara turut menjejaskan kedatangan pelancong ke Sarawak.

Katanya dari Januari hingga Oktober tahun ini, Sarawak menerima 3.747 juta pelancong, membawa masuk anggaran perolehan daripada pelancongan sebanyak RM8.24 bilion, susut 4.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Negara-negara ASEAN masih mendahului jumlah ketibaan pelancong ke Sarawak diikuti UK, China dan Australia, katanya.

"Bagaimanapun, berdasarkan trend sebelum ini berhubung purata ketibaan pelancong pada November hingga Disember, kementerian saya menjangka 4.8 juta orang pada tahun ini," katanya.

Abang Johari berkata bagi Januari hingga November, Sarawak menganjurkan 52 persidangan yang membawa masuk 15,830 delegasi dan menjana jumlah anggaran perbelanjaan delegasi sebanyak RM31.1 juta.

"Sejak beberapa tahun ini, kedudukan Kuching sebagai destinasi acara perniagaan dalam Asia Pasifik dan Timur Tengah meningkat. Ia kini berada pada kedudukan ke-20, dengan 23 mesyuarat antarabangsa, mendahului Abu Dhabi, Manila, Auckland, Jakarta dan Adelaide berbanding tempat ke-28 pada tahun sebelumnya.

"Penilaian kedudukan itu dijalankan oleh Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa berdasarkan bidaan yang dimenangi dan kriteria yang ketat," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan negeri akan terus menggalakkan lebih banyak penyertaan komuniti luar bandar dalam industri pelancongan melalui program Pelancongan berasaskan Komuniti dan Inap Desa (CBET).

CBET menekankan pemuliharaan sumber semula jadi dan alam sekitar, manakala inap desa memberi peluang yang unik kepada pelancong untuk merasai kehidupan masyarakat tempatan, makanan dan aktiviti kebudayaan, katanya.

"Setakat ini, 31 buah kampung, melibatkan 477 pengusaha, telah mendaftar di bawah Program Inap Desa. Sehingga September tahun ini, program itu telah menarik sejumlah 23,491 pengunjung iaitu 4,357 merupakan warga asing dan 19,132 tempatan, meningkat 2.15 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

Anggaran perolehan yang dijana di bawah program itu dalam tempoh tersebut ialah RM2.5 juta, katanya.

-- BERNAMA
Syarikat Penerbangan Hong Kong Minat Lancar Penerbangan Ke Kuching Syarikat Penerbangan Hong Kong Minat Lancar Penerbangan Ke Kuching Reviewed by Unknown on December 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.