PORTUGAL berjaya mara ke pusingan kalah mati sebagai pasukan tempat ketiga kumpulan terbaik keseluruhan biarpun sekadar mengutip satu mata daripada perlawanan menentang Hungary, terima kasih kepada Cristiano Ronaldo.
Ronaldo menyelamatkan skuad Selecao daripada ketinggalan dua kali sebelum perlawanan sengit di Lyon itu berkesudahan seri 3-3.
Perancang Hungary, Zoltan Gera terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi rembatan deras yang menewaskan penjaga gol, Rui Patricio.
Dua minit sebelum tamat babak pertama, Nani menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan lorongan Ronaldo.
Tidak lama selepas perlawanan disambung, Hungary kembali di depan selepas Balasz Dzsudzsak meledak gol kedua pasukan pada minit ke-47, tetapi diikat kembali Ronaldo dengan jaringan cantik tiga minit kemudian.
Sekali lagi Dzsudzsak membawa Hungary hampir mengutip tiga mata penuh, tetapi sekali lagi Ronaldo muncul penyelamat pasukannya selepas menanduk masuk bola hantaran lintang Ricardo Quaresma pada minit ke-62, dan kedudukan jaringan kekal hingga tamat perlawanan.
Iceland naib juara Kumpulan F
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan F menyaksikan Iceland menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua di bawah Hungary selepas mencatat kemenangan pertama dalam kempen kali ini ke atas Austria.
Iceland bermula gah dengan mencetak gol pada minit ke-18 daripada lorongan Jon Dadi Bodvarsson memperdaya Robert.
Austria dianugerahkan sepakan penalti selepas Ari Skulason menarik tangan David Alaba yang melompat menanduk bola pada minit ke-37.
Walau bagaimanapun ia gagal disempurnakan Aleksandar Drakovic apabila bola mengenai tiang gol.
Gol penyamaan hanya hadir pada minit ke-60 menerusi Alessandro Schopf, namun serangan balas pada minit terakhir masa tambahan menjelmakan gol kemenangan Iceland yang dijaringkan Arnor Ingvi Traustason.
Ireland mara penuh dramatik
Saingan kumpulan E pula menyaksikan Republik Ireland melakar sejarah apabila gol lewat permainan Robbie Brady berjaya membawa pasukannya mara ke pusingan 16 terakhir.
Itali yang telahpun mengesahkan kemaraan menurunkan barisan keduanya, sementara Ireland yang terdesak mencari kemenangan bertali arus melancarkan serangan namun sukar menembusi benteng teguh pertahanan Azzuri.
Sehinggalah pada minit ke-85, Brady menewaskan Gianluigi Buffon dengan menanduk masuk hantaran Wes Hoolahan.
Selamat tinggal, Zlatan
Sweden pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas tewas 1-0 kepada Belgium, sekaligus menamatkan perjalanan karier antarabangsa bintangnya Zlatan Ibrahimovic.
Pemain tengah Belgium, Radja Nainggolan merembat kencang bola dari luar petak penalti ketika perlawanan berbaki enam minit sebelum tamat.
Kekalahan tersebut bermakna Sweden hanya mengutip satu mata sementara ibrahimovic gagal menjaringkan sebarang gol dalam kempen kali ini.
Pusingan 16 terakhir akan bermula 9 malam 24 Jun, dimulakan dengan perlawanan Switzerland dengan Poland. - AWANI
Berikut adalah perlawanan-perlawanan lain dalam pusingan tersebut:
Switzerland vs Poland
Wales vs Ireland Utara
Croatia vs Portugal
Perancis vs Republik Ireland
Jerman vs Slovakia
Hungary vs Belgium
Itali vs Sepanyol
England vs Iceland
Euro 2016: Akhirnya Ronaldo Selamatkan Portugal
Reviewed by uMieySurianie
on
June 23, 2016
Rating:
No comments: