PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin PKR dibenarkan memasuki Sarawak selama seminggu bagi memberi penghormatan terakhir kepada rakan seperjuangan mereka, Bill Kayong yang meninggal dunia Selasa lepas.
Memetik laporan BorneoPostOnline, Ahli Majlis Tertinggi PKR Sarawak Baharuddin Mokhsen berkata kerajaan negeri telah memberi lampu hijau kepada pemimpin parti itu.
Ramai pemimpin pembangkang dihalang menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang sejak Mei lalu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 berdasarkan Akta Imigresen yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak untuk mengawal kemasukan mana-mana individu ke negeri itu.
Jenazah Allahyarham Bill yang ditembak mati individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat Lutong berhampiran Pasaraya Emart One-Stop pada jam 8.30 pagi semalam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Kuala Baram, selepas solat Jumaat ini.
Antara mereka yang dijangka menghadiri pengebumian Allahyarham di Miri itu adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail: Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dan juga pemimpin parti dari negeri lain yang dijangka tiba di Sarawak sama ada esok atau Jumaat ini.
Presiden Persatuan Dayak Sarawak (Pedas), Kapten Collin Imran Abdullah dilaporkan sebagai berkata, acara memberi penghormatan terakhir mengikut adat Iban akan dilakukan selama dua malam berturut-turut, mulai malam ini di rumah Allahyarham di Senadin, Miri.
Bill yang memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan wanita Indonesia, Hassyikin Hatta adalah aktivis masyarakat terutamanya dalam isu hak Tanah Adat yang diketengahkan secara meluas sepanjang kempennya pada PRN bulan lalu.
Kematiannya itu sehari selepas beliau mengulas satu catatan dalam media sosial oleh seorang warga Brunei yang mengkritik kewujudan gereja sepanjang jalan utama di Miri. - FMT
Pemimpin Tertinggi PKR Dibenar Masuk Sarawak Hadiri Pengebumian Bill Kayong
Reviewed by Unknown
on
June 23, 2016
Rating:
No comments: