KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengenal pasti kaedah dan alternatif bantuan bersifat jangka panjang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi menangani bebanan yang ditanggung golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di negara ini.
Senator Datuk Chin Su Phin berpendapat langkah itu dapat digantikan dengan pemberian subsidi seperti menyediakan barangan asas dan perkhidmatan lain selain menambah Skim Perumahan khasnya kepada golongan B40.
"Kita sedar populasi penduduk di negara ini bertambah kian tahun dan setiap tahun kadar rakyat yang layak menerima BR1M meningkat selain kadar pemberian BR1M juga meningkat dan semakin menekankan kewangan kerajaan.
"Maka, langkah alternatif lain perlu bagi memberi kesan yang lebih membantu keseluruhan rakyat Malaysia dan golongan sasaran juga tidak dipinggirkan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara, pada Isnin.
Sejak BR1M diperkenalkan (pada 2012) adakah kerajaan membuat kajian terperinci mengenai impak ekonomi kepada golongan B40 dan negara secara keseluruhannya dan sampai bila program itu akan diteruskan, katanya.
Sambil menyokong rancangan rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan, katanya kerajaan juga perlu mengkaji satu kaedah bantuan lebih memberi manfaat kepada golongan M40 yang tidak layak menerima BR1M seperti kemudahan asas perlindungan insurans, perubatan dan bantuan pendidikan anak-anak.
Kumpulan B40 ditakrifkan sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855, manakala M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana) berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319.
Sementara itu, Datuk Abdullah Mat Yassin meminta kerajaan memberi fokus kepada projek-projek berskala kecil yang memberi impak kepada kehidupan penduduk luar bandar.
Beliau berkata penduduk luar bandar tidak dapat menikmati manfaat secara terus melalui projek-projek mega yang sedang dilaksanakan kerajaan.
"Program-program seperti membaiki rumah rakyat di luar bandar perlu diteruskan kerana projek sebegitu dapat membantu rakyat berbanding projek mega di kawasan bandar kerana penduduk juga mahu merasai sentuhan bantuan kerajaan secara terus," katanya.
Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani untuk bacaan kali kedua dan disokong Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Lee Chee Leong.
Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama
Kerajaan Dicadang Kenal Pasti Bantuan Jangka Panjang Ganti BR1M
Reviewed by uMieySurianie
on
December 06, 2016
Rating:
No comments: