KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan Myanmar menghentikan segera tindakan berbentuk diskriminasi dan serangan terhadap etnik Rohingya.
Perdana Menteri berkata, dalang ketidakadilan itu wajar dihadapkan ke muka pengadilan.
Beliau turut mendesak kerajaan Myanmar menyediakan akses tanpa had untuk bantuan kemanusiaan disalurkan kepada kawasan terjejas susulan krisis kemanusiaan berkenaan.
"Pada masa sama, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta kerajaan Myanmar memberi jaminan keselamatan untuk semua pelarian Rohingya kembali ke tempat asal masing-masing.
"Masalah ini perlu diselesaikan dari peringkat akar umbi, mencakupi perancangan komprehensif secara jangka panjang untuk semua pihak berkaitan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptama Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di Myanmar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan kerajaan Malaysia sebanyak RM10 juta bagi membantu usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Wilayah Rakhine.
Najib berkata, dana itu akan digunakan bagi membina infrastruktur seperti institusi pendidikan dan perubatan yang memanfaatkan pembangunan kehidupan penduduk setempat.
Malaysia juga, katanya, akan meneruskan sokongan terhadap program kerjasama teknikal Malaysia (MTCP), membabitkan Myanmar selaku penerima terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
"Saya minta semua anggota OIC bersatu atas nama dan semangat Islamiah kerana adalah menjadi tanggungjawab kita secara kolektif untuk membantu saudara seagama di wilayah Rakhine.
"Kita perlu membantu mereka dalam tragedi kemanusiaan ini dengan memberikan masa depan yang lebih cerah dan selamat, sejajar hak setiap manusia," katanya.
Najib berkata, OIC yang dianggotai 57 negara mewakili 1.6 bilion penduduk tidak seharusnya berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat kekejaman yang berlaku.- Berita Harian
Dakwa Segera Dalang Krisis Rohingya - Najib
Reviewed by uMieySurianie
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: