SAN FRANCISCO: Dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) hampir kepada pekerjaan penuh manakala inflasi bergerak ke arah sasaran dua peratus seperti ditetapkan oleh Rizab Persekutuan (Fed), adalah wajar bagi bank pusat AS menaikkan kadar faedah secara berperingkat, kata Pengerusi Fed, Janet Yellen.
"Menanti terlalu lama untuk bergerak ke arah kadar faedah neutral boleh mendatangkan risiko buruk pada masa akan datang, sama ada inflasi terlalu tinggi, ketidakseimbangan kewangan atau kedua-duanya," kata Yellen dalam ucapan di Commonwealth Club of California, di sini.
"Jika senario itu berlaku, kita mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah dengan cepat yang akhirnya boleh menyebabkan ekonomi terjerumus ke kancah kemelesetan baharu."
Fed menaikkan kadar faedah jangka pendek bulan lalu, kali kedua sejak krisis kewangan 2007-2009 apabila ia memotong kadar faedah kepada hampir sifar dan mula memberi sejumlah besar Perbendaharaan serta sekuriti disokong gadai janji untuk mengurangkan kos pinjaman jangka panjang.
Kenaikan kadar faedah Disember lalu mencerminkan keyakinan ekonomi akan terus pulih, kata Yellen.
Ketua Fed itu menambah, beliau dan pembuat dasar lain menjangkakan bank pusat menaikkan kadar faedah penanda aras utama itu 'beberapa kali setahun' sehingga 2019, meletakkannya hampir kepada kadar jangka panjang mampan sebanyak tiga peratus.
Yellen berkata, ia boleh berubah bergantung kepada perkembangan tinjauan ekonomi.
"Ekonomi adalah besar dan amat kompleks, malah laluannya boleh menjadi berliku dan berubah," katanya.
Yellen bagaimanapun tidak membuat kenyataan berhubung pentadbiran akan datang pimpinan Presiden dipilih, Donald Trump. - REUTERS
Kadar Faedah AS Akan Naik Berperingkat
Reviewed by Azmin
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: