MIRI: Hasrat pasangan suami isteri untuk mengambil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina yang berlangsung di sebuah hotel di sini pagi semalam, bertukar ngeri apabila mereka terbabit dalam kemalangan kendiri, sekitar jam 8 pagi.
Kejadian berlaku berhampiran Jalan Grand Old Lady, apabila kedua-dua pasangan tersebut tinggal di Quadruplex Bandar Baru Permyjaya, dalam perjalanan menuju ke Hotel Dynasty di mana majlis tersebut dilangsungkan, apabila motosikal dinaiki tergelincir di jalan raya selepas hilang kawalan, disebabkan jalan licin selepas hujan.
Mangsa, Tambang Bungau, 57, yang membonceng di belakang suaminya, turut tergelincir di atas jalan bersama motosikal menyebabkan cedera parah terutama di bahagian kakinya, dipercayai mengalami retak pada bahagian tulang.
Manakala suami mangsa, Kiu An Jee , 54, turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, namun lebih bernasib baik berbanding isterinya.
Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan kecemasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang dihubungi oleh orang awam, sebelum mereka dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.
Ketika kejadian kedua-dua mereka bernasib baik kerana tiada kenderaan yang meluncur laju di jalan raya.
Sementara itu, suami mangsa, Kiu, adalah penerima bantuan JKM sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini dan sepatutnya menerima sumbangan mereka di Hotel Dynasty, disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, sebelum terbabit kemalangan.
Majlis penyerahan bantuan Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina itu telah diadakan dengan kerjasama JKM dan Hotel Dynasty Miri di sini yang menyaksikan semua penerima yang layak, terdiri daripada keluarga miskin dan kurang kemampuan, warga tua serta ibu tunggal, menerima bantuan tersebut. - UB
Kemalangan Ketika Hendak Ke Program Sejambak Kasih
Reviewed by Azmin
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: