KUALA LUMPUR – Susulan isu cadangan motosikal jenis kapcai dilarang dari memasuki bandaraya Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan media sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini tampil menjelaskan perkara itu hanyalah satu kemungkinan sahaja.
Menurut Tengku Adnan, sekiranya sesuatu perkara itu memberi beban dan masalah kepada rakyat, kerajaan sama sekali tidak akan melaksanakan polisi tersebut.
“Masalahnya bukan kita nak stop, saya kata berkemungkinan, tapi dari cara tulis (media menulis) macam saya cakap nak haramkan kapcai. Tidak..(tak benar perkara itu),” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Butik Bohari di Sunway Putra Mall, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, beliau sedia maklum ramai warga kota menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian dalam berulang-alik ke tempat kerja berikutan kosnya yang murah.
Sehubungan itu, beliau berkata dasar itu mungkin tidak akan digubal memandangkan kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada rakyat dalam apa jua permasalahan sebagaimana slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
“Saya tahu kebanyakan warga kita perlukan kenderaan dan kenderaan-kenderaan yang digunakan adalah murah seperti kapcai sebab isi minyak murah.
“Malahan saya juga penggalak, saya adakan track di Putrajaya, mereka boleh pergi buat racing (berlumba).
“Bagi tahu semua rakan-rakan saya yang bawa motosikal, jangan risau (mengenai isu pengharaman kapcai di Kuala Lumpur),” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan motosikal berkapasiti enjin kecil atau kapcai mungkin dilarang memasuki ibu negara sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.
Menurut laporan itu juga, Tengku Adnan dilaporkan berkata pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan. – MYNEWSHUB.CC
Isu Kapcai: “Jangan Risau, Ia Hanya Kemungkinan” – Ku Nan
Reviewed by Azmin
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: