KOTA BHARU – Seorang peniaga tidak menyangka kesan pecah di cermin hiasan dinding hadapan rumahnya di Bandar Baru Kubang Kerian di sini, rupa-rupanya adalah kesan tembakan.
Ng Chee Han, 34, hanya mengetahui kesan tembakan yang berlaku pukul 8.30 malam Isnin lalu, selepas diberitahu oleh seorang tukang cermin yang datang membaiki kerosakan tersebut.
“Tukang cermin memberitahu kesan pecah itu seperti kesan peluru dan perkara itu mengejutkan saya dan saya membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu semalam (Selasa) kerana bimbang dengan keselamatan keluarga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian beliau dan keluarganya sedang berehat dalam rumah tiba-tiba terdengar bunyi seakan letupan yang kuat dan mendapati cermin tersebut pecah.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya percaya kesan tembakan terbabit kemungkinan adalah daripada senapang angin.
Setakat ini, tiada kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian dan polis sedang menjalankan siasatan, katanya.
Di TANAH MERAH, tindakan pantas pemilik kedai peralatan telekomunikasi membuat panggilan kepada polis berjaya menggagalkan cubaan seorang wanita menipu dalam pembelian kad prabayar di kedai tersebut, hari ini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, wanita itu memasuki kedai berkenaan manakala teman lelakinya berusia dalam 30-an menunggu dalam kereta di hadapan kedai tersebut.
Taktik suspek terbongkar selepas pemilik kedai berkenaan mengenali wajah wanita itu yang pernah ditularkan di laman sosial kerana disyaki menipu beberapa premis menjual peralatan telekomunikasi di Jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas.
Pemilik kedai berkenaan, Ang Bun Han, 43, berkata tingkah laku suspek wanita itu sama seperti yang diditularkan di laman sosial berhubung beberapa kejadian penipuan dalam tempoh seminggu lalu.
“Wanita itu masuk ke dalam kedai saya dengan alasan ingin membeli kad pra bayar dengan kuantiti yang banyak sehingga 200 keping dan apabila saya mempersoalkannya, dia beri alasan untuk dijual,” katanya ketika kejadian, beliau bersama isterinya baru 30 minit memulakan perniagaan.
“Saya mengambil masa melayannya (suspek) dan dalam masa sama isteri saya menghubungi skuad radio amatur dan polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Polis yang tiba sejurus kemudian menahan wanita dan teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai ada kaitan dengan kes penipuan di beberapa premis menjual peralatan telekomunikasi lain. – BERNAMA
Peniaga Tidak Sedar Cermin Rumah Kena Tembak
Reviewed by Azmin
on
January 19, 2017
Rating:
No comments: