Seo Services

Tukang Masak Tanpa Bayaran


TIDAK dinafikan, kenduri kahwin adalah satu acara yang sangat istimewa dan memakan belanja yang besar.

Selain meraikan pengantin baharu, hidangan yang disediakan sangat dinanti-nantikan oleh tetamu.

Nasi minyak, ayam masak merah, dalca, jelatah, kari atau kurma daging adalah antara menu yang apabila disebut sahaja sudah terasa-rasa akan aroma dan kesedapannya.

Bayangkanlah jika ada perkhidmatan memasak hidangan berkenaan secara percuma.

Bagi masyarakat kampung di Yan Kechil di Yan, tidak timbul soal pening kepala dalam memilih pihak katering yang terbaik.

Ini kerana, mereka mempunyai tukang masak tersendiri.

“Kami orang sini toksah dok risau sebab kami ada ‘chefí sendiri’ kata Faizatul Izham, 42, dengan loghat pekat Kedah selaku tuan rumah atau tuan kenduri, dan lebih mudah didekati dengan panggilan Am.

Tukang masak yang dimaksudkan adalah anggota pakatan masyarakat kampung ini yang selalunya bergotongroyong menjadi Ďorang genohoqí(tukang masak) manakala selainnya bertugas sebagai ‘mentara’ yang berbahagi tugas menghidang, menyambut, melayan serta mengemas setelah tetamu pulang.

“Tuan kenduri hanya perlu menyediakan wang dan seterusnya pakatan kampung ini dengan rela hati bergotong-royong menyediakan sajian makanan seperti yang diminta tuan kenduri tanpa mengenakan sebarang syarat atau bayaran,” jelas Am lagi.

Amalan bergotongroyong menguruskan kerja kahwin memang sesuatu yang lazim pada zaman dahulu, tetapi kini semakin ditelan kemodenan dengan pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh pihak-pihak katering.

Hashim Md Lazim, 70, lebih dikenali Tok Long Hussien, yang juga digelar Tok Keruau (ketua tukang masak) adalah antara individu yang masih meneruskan legasi ‘mengepalai’ khidmat memasak hidangan kendurikendara di kawasan itu.

Beliau yang juga anak jati Yan sudah menjalankan tugas itu sejak lebih 30 tahun lepas.

Tok Keruau menjadi orang paling sibuk dan tidak menang tangan dalam menguruskan majlis perkahwinan, selepas ibu bapa pengantin.

Selalunya, Tok Keruau akan berbincang dengan tuan kenduri pelbagai perincian berhubung jumlah undangan dan jenis hidangan kirakira sebulan sebelum majlis berlangsung.

Am menjelaskan bahawa pakatan itu mempunyai sistem tertentu dalam menguruskan tempahan, termasuk tarikh yang ditetapkan, pembahagian tugas tukang masak dan para mentara dan sebagainya.

“Tugas berbeza dibahagikan untuk lelaki dan wanita. Golongan wanita mulai sibuk membuat persediaan awal pada petang sebelum hari majlis berlangsung. Aktiviti itu selalunya bermula selepas waktu Asar,” jelas Am.

Pada petang itu, lazimnya akan kelihatan kaum wanita memegang sebilah pisau yang dibalut dengan akhbar terpakai, yang dibawa dari rumah masing-masing.

Mereka duduk berkumpulan, masingmasing mengupas kentang, bawang, lengkuas, halia, memotong cili dan lain-lain lagi agar kerja-kerja memasak pada keesokan harinya lancar, manakala golongan lelaki sibuk mendirikan khemah atau ‘balai’ dan menyediakan pelbagai peralatan memasak.

Menjelang hari kenduri, anggota lelaki pakatan kampung akan bermesyuarat dengan tuan kenduri bagi membincangkan menu, senarai undangan dan tugas masing-masing, kata Zamri Hashim, 51, yang juga anggota pakatan itu.

Perincian mesyuarat itu kemudiannya akan disampaikan kepada isteri masing-masing.

Setiap anggota pakatan mempunyai tugas masing-masing sama ada menumis, memasak, menghidang, melayan tetamu sehinggalah ada yang khusus untuk merasa hidangan sebelum dhidangkan kepada tetamu.

Menariknya, walaupun tanpa latihan atau kelulusan professional, hidangan yang disediakan selalunya sangat enak dan sering mendapat pujian tetamu.

“Peranan tukang rasa adalah yang paling penting, rasa daripada mulut beliau akan menentukan apa yang bakal dinikmati oleh kira-kira 2,000 tetamu,” jelas Hashim mengenai pelbagai tugas yang diamanahkan.

Bagaimanapun, katanya kami bekerja sebagai satu kumpulan.

Tukang rasa akan dibantu oleh 10 orang lain untuk merasa hidangan itu.

Apa yang menariknya di sini, untuk memastikan hidangan itu dirasa sebaiknya, semua tukang rasa akan membiarkan perut masingmasing kosong dan lapar.

“Apabila perut lapar, barulah kita dapat tahu sama ada masakan sedap ataupun tidak. Kuantiti untuk merasa masakan adalah setengah pinggan sahaja.

“Yang pertama dirasa adalah cukup garam atau tidak, kami akan pastikan elemen masin itu wujud dahulu dan diikuti dengan rasa yang lain,” tambah beliau.

Proses penyediaan masakan yang memerlukan penelitian dari awal peringkat menumis sehingga selesai memasak.

Hashim berkata, pada hari majlis berlangsung, aktiviti bermula dengan tugas memotong daging seawal jam 7 pagi.

“Setelah selesai, mereka akan mengambil tugas masing-masing. Makanan biasanya dihidangkan pada pukul 11 pagi,” kata Hashim.

Agak sukar dipercayai bahawa hidangan yang pelbagai dan enak itu dapat disedaikan dalam tempoh empat jam sahaja, tetapi berkat kerjasama dan muafakat, segalanya berjalan lancar.

“Kebanyakan anggota pakatan ini sudah menjalankan kerja gotongroyong ini lebih 20 tahun.

“Jadi tidak hairanlah jika kami sudah mahir dalam menentukan bahan, resipi dan sukatan yang diperlukan dalam sesuatu hidangan. Semuanya sudah dalam tangan kami,” ujar Hashim berseloroh.

Jarang sekali dan tidak mudah untuk mendapatkan komitmen dan kerjasama seumpama itu terutamanya yang dilakukan secara percuma pada zaman sekarang.

Jadi, tidak hairanlah jika mereka yang masih berbuat demikian di kampung-kampung terdiri daripada golongan warga emas.

“Kerja ini mudah jika dilakukan dengan penuh muafakat, namun apa yang kami perlukan sekarang adalah pewaris. Kami tidak akan mampu melakukan kerja-kerja ini bila tiada khudrat lagi,” kata Hashim.-Bernama
Tukang Masak Tanpa Bayaran Tukang Masak Tanpa Bayaran Reviewed by Unknown on March 01, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.