Seo Services

Kelonggaran Syarat Lulus BM Akan Beri Kesan Jangka Panjang



KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberikan penjelasan mengenai keputusan melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu bagi pelantikan Pegawai Perubatan Gred UD41 kontrak di Kementerian Kesihatan .

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, sebelum ini JPA membuat keputusan bahawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus Bahasa Melayu sekiranya ingin berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“JPA perlu jelaskan kenapa mereka mengubah pendirian tersebut sedangkan syarat lulus Bahasa Melayu yang diguna pakai sebelum ini tidak keterlaluan malah telah dipersetujui oleh semua pihak.

“Syarat sedia ada sangat minimum dan kelonggaran itu tidak sepatutnya dilaksanakan walaupun bagi mengisi jawatan kontrak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kok Seong berkata, tindakan JPA boleh menyebabkan kementerian lain turut sama meminta kelonggaran dan akhirnya nilai Bahasa Melayu akan terus dipandang rendah.

Sementara itu, Sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, sekiranya kelonggaran itu dilaksanakan, bahasa Melayu akan dipandang rendah dan bidang pekerjaan lain akan mengikuti langkah Kementerian Kesihatan untuk menarik syarat kelulusan Bahasa Melayu.

“Isu bahasa Melayu sangat sensitif, kita faham masalah yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan tetapi dikhuatiri akan menyebabkan masalah komunikasi terganggu dan akhirnya berlaku kesukaran ketika menyampaikan maklumat.

“Bahasa Melayu di peringkat SPM adalah penanda aras penguasaan seseorang terutama dalam aspek komunikasi dan penulisan. Sekiranya mereka tidak berjaya dalam SPM bagaimana mereka mahu berurusan ketika perkhidmatan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan, kelonggaran syarat itu ibarat mencemuh dan menghina bahasa Melayu dan semua pihak perlu memastikan bahasa kebangsaan terus dipertahankan.

- Utusan Malaysia
Kelonggaran Syarat Lulus BM Akan Beri Kesan Jangka Panjang Kelonggaran Syarat Lulus BM Akan Beri Kesan Jangka Panjang Reviewed by Unknown on July 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.