Seo Services

SPRM Siasat Kes Radar Tentera Hilang


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, baru-baru ini.

SPRM menerusi satu kenyataan, hari ini memaklumkan menerima aduan berhubung perkara itu dan akan menghantar pasukan penyiasat ke PTP bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Pasukan penyiasat akan menilai maklumat yang diperoleh untuk mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

"SPRM akan mengambil keterangan daripada beberapa orang pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membantu siasatan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM juga akan bekerjasama dengan polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar tentera berteknologi tinggi terbabit.

Bagaimanapun, katanya, siasatan SPRM hanya akan tertumpu kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan mengenai kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di PTP.

Sistem peralatan radar terbabit dikatakan dalam perjalanan transit dari Australia ke Belanda dan ditahan JKDM sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam menafikan kontena berisi radar itu hilang, sebaliknya mengesahkan ia sudah sampai ke Belanda melalui Pelabuhan Rotterdam.

Menurutnya, siasatan kini sedang dijalankan sebenarnya menjurus kepada pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010. - BHOnline
SPRM Siasat Kes Radar Tentera Hilang SPRM Siasat Kes Radar Tentera Hilang Reviewed by Azmin on July 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.