Foto BorneoPost |
BAU: Pembinaan sebuah sekolah menengah baharu yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep di sini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jagoi akan direalisasikan jika Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, memandangkan beliau telah mengemukakan permohonan cadangan untuk pembinaan sekolah tersebut kepada Kementerian Pendidikan sebelum ini, namun kelulusannya masih belum lagi dimaklumkan.
“Tiada tempoh waktu diberikan oleh Kementerian Pendidikan untuk meluluskan projek ini, tetapi saya berharap kerajaan persekutuan dapat memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk melaksanakannya.
“Mungkin juga projek ini akan dapat diluluskan jika BN menang di Mas Gading dan saya berharap BN dapat menang untuk mencapai hasrat ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan dan Serahan Inden Projek RMR1M Untuk Tasik Biru di pejabatnya, Pusat Khidmat ADUN Tasik Biru di sini, semalam.
Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Henry, SMK Jagoi amat diperlukan untuk menempatkan pelajar dari kawasan Jagoi kerana pada masa ini, tiga sekolah menengah di daerah ini iaitu SMK Bau, SMK Lake dan SMK Paku sudah penuh.
“Walaupun sebuah lagi sekolah menengah baharu - SMK Singai dijangka siap pada 2019 namun ia juga tidak akan dapat membantu mengurangkan kepadatan pelajar di tiga sekolah menengah sedia ada,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap sekolah sedia ada sekarang mempunyai hampir 2,000 pelajar dan masih menjalankan dua sesi persekolahan, dengan kadar kira-kira 40 pelajar dalam satu kelas.
“Maka, ini membawa kepada persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif.
“Sekiranya pembinaan SMK Jagoi tidak direalisasikan, sekolah-sekolah menengah di sini dijangka akan mengalami kepadatan pelajar yang serius kerana daerah ini kini sudah menjadi separa bandar dan bukan lagi luar bandar, ekoran pembangunan yang sedang pesat dari segi prasarana termasuk taman-taman perumahan,” katanya. – Sarawakiana
SMK Jagoi Akan Direalisasikan Jika BN Kekalkan Di Mas Gading
Reviewed by uMieySurianie
on
August 16, 2017
Rating:
No comments: