Seo Services

Najib ambil berat soal Palestin seolah-olah berada di sana! – Imam Masjidil Aqsa

KELMARIN Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’ed Sabri memberi pengiktirafan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas komitmen dan sokongan Malaysia terhadap perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

Sheikh Ekrima pernah melawat Malaysia buat pertama kali pada 2003. Beliau pernah dikenakan tahanan rumah oleh Israel seperti dilalui Presiden Palestin, Yasser Arafat.

Sheikh Ekrima pernah mengalami kecederaaan selepas selesai menunaikan solat di luar pintu Masjid Al-Aqsa, apabila polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan.

Berikut adalah wawancara eksklusif di antara wartawan theRakyat.com, SYAHRIL A. KADIR dengan Dr. Ekrima di hotel penginapannya di ibu negara semalam.

SOALAN: Apakah pandangan Ustaz terhadap Malaysia sebelum dan selepas menjejakkan kaki di sini?

DSE: Kami di Palestin mengikuti perkembangan semua negara Islam termasuklah di Malaysia.

Kami sangat menghargai peranan yang dimainkan Malaysia terhadap Palestin termasuk tindakannya yang tidak mengiktiraf negara Israel.

Bila sampai di Malaysia, pandangan kami tentang negara ini semakin jelas.

Ternyata rakyatnya menyintai Palestin dan bersama-sama Palestin. Kami sangat menghargai pandangan mereka mengenai isu-isu di tanah air kami termasuklah isu masjid di Al-Quds.

Kami juga sangat menghargai peranan Malaysia dalam mempertahankan Al-Quds daripada dicerobohi Yahudi

SOALAN: Boleh Ustaz ceritakan pengalaman bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

DSE: Ini bukanlah kali pertama saya bertemu Najib, ini adalah kali ketiga. Kami berbicara mengenai sokongan Malaysia terhadap isu Palestin.

Ternyata Perdana Menteri begitu mengambil berat soal kedaulatan tanah air kami sehingga apabila kami berbicara mengenainya, Najib seolah-olah berada di sana!

Ini menunjukkan beliau begitu mengambil berat tentang kami.

SOALAN: Malaysia bakal berhadapan dengan pilihan raya umum tak lama lagi. Apa nasihat Ustaz kepada rakyat Malaysia?

DSE: Sesungguhnya rakyat Malaysia adalah bangsa yang sangat mengambil berat dan mencintai Al- Quds dan Masjid Al-Aqsa.

Oleh yang demikian, saya berharap sangat sikap ini akan berkekalan.

Untuk itu, dalam proses pemilihan pemimpin dan kerajaan nanti, saya berharap rakyat negara ini akan memilih pemimpin yang bersama dengan Palestin, Al-Quds dan Aqsa serta berterusan untuk tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel.

InsyaAllah saya percaya rakyat Malaysia tidak akan bersama-sama mereka yang tidak menyokong Palestin.

Saya juga percaya rakyat negara ini tidak akan bersama-sama Israel.

Setiap orang ada perbezaan pendapat, tetapi saya berharap rakyat Malaysia akan terus teguh bersama mereka yang menyokong perjuangan negara dan hak rakyat Palestin untuk merdeka daripada Israel.

SOALAN: Bagaimana Ustaz melihat konsep pendekatan wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan Malaysia?

DSE: Kami katakan manhaj wasatiyyah adalah tidak terlalu bermudah dan tidak melampau. Allah meminta kita menjadi umat wasatiy iaitu berada di pertengahan.

Ini adalah selari dengan tuntutan agama kita.

SOALAN: Bagaimana situasi terbaru di Palestin sekarang?

DSE: Sememangnya negara yang diceroboh begitulah keadaannya.

Tanah diceroboh, umatnya dibunuh.

Keadaan Palestin sebagaimana biasa masih lagi bergolak dan masih lagi tidak berhenti selagi mana ia di bawah cengkaman pihak Israel.

Pendirian rakyat Palestin teguh kerana mereka ahlul haq. Mereka yang bersama kebenaran akan kekal kuat walaupun tanpa senjata.

Kami kena kuatkan iman dan teguh dengan pendirian.

Apa pun, kami menghargai negara-negara yang menyokong (perjuangan) kami di Palestin termasuklah dari Malaysia.

SOALAN: Apa iktibar yang boleh dipelajari rakyat Malaysia dalam isu Palestin ini.

DSE: Kita kena jauhkan persengketaan dan bergaduh sesama sendiri, ini kerana persengketaan membawa kepada ketidaktenteraman.

Malaysia sebuah negara aman dan ini merupakan suatu nikmat dan aset kepada negara ini.

Jangan kamu membiarkan masalah ini daripada berlaku.

SOALAN: Berbalik kepada isu Masjid Al-Aqsa, ada yang berpendapat hukum menziarahi masjid suci itu haram kerana ia hanya menguntungkan pihak kerajaan zionis Israel, apa pendapat Ustaz?

DSE: Ini merupakan masalah khilafiah dan setiap pandangan ulamak itu mempunyai kekuatan hujah dan dalil tersendiri.

Terserah pada pandangan masing-masing.

Sesiapa yang berpegang pada pendapat ‘tidak harus ziarah’, tidak mengapa jika mereka mengikut pandangan itu.

Bagi yang berpandangan sebaliknya, ‘Selamat Datang’ kami ucapkan.

Saya tidak kata harus dan tidak pula kata haram untuk menziarahi Al-Quds.

Yang pasti kami sangat mengalu-alukan umat Islam berkunjung ke sana.

Kami pasti gembira dengan kehadiran kalian.

SOALAN: Bagaimana Ustaz melihat penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia di bumi Palestin?

DSE: Kami sangat menghargai dan sangat bersyukur dengan NGO-NGO dari Malaysia yang menyokong Palestin. Sama ada di Al-Quds, di Gaza atau di mana-mana daerah di bumi Palestin.

Kami mendoakan sesiapa yang menyokong kami selama ini.

Seorang mukmin bersama mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, menyokong antara satu sama lain kerana setiap orang Muslim itu bersaudara.

Kami juga menghantar surat kepada Najib dan menyatakan terima kasih di atas sokongannya kepada Palestin, juga kepada semua NGO-NGO seperti Yayasan MyAqsa.

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar terus menyalurkan bantuan ke atas masyarakat Palestin dan Al-Quds melalui NGO-NGO yang diiktiraf di sini.

Di Malaysia, memang sangat jelas rakyatnya menyokong keamanan Palestin dan menyokong hak syariat rakyat Palestin seperti yang kita sering lihat di peringkat forum antarabangsa dan sebagainya

Isu Palestin bukan isu negara kami sendiri tetapi adalah isu seluruh umat Islam sejagat.

Apabila kita menyebut Palestin ia bermaksud Al-Quds, bila sebut Al-Quds ia adalah Masjidil Aqsa. Apabila menyebut Al-Quds ia adalah Palestin, apabila kita sebut Al-Aqsa ia adalah Palestin dan Quds.

Oleh itu apa saja yang berlaku di sana adalah isu serta masalah kita semua orang Islam.

(Beliau kemudiannya membaca doa)

Ya Allah, limpahkanlah negara Malaysia dengan keamanan, kemakmuran dan juga seluruh negara Islam yang lain.

Permudahkanlah rakyat Malaysia dalam pilihanraya negaranya.

Ya Allah kami memohon agar direzekikan keamaman, kesejahteraaan dan jadikanlah mereka negara yang teguh menyokong isu Palestin.

Amin

-theRakyat.com
Najib ambil berat soal Palestin seolah-olah berada di sana! – Imam Masjidil Aqsa Najib ambil berat soal Palestin seolah-olah berada di sana! – Imam Masjidil Aqsa Reviewed by Admin on April 16, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.