PENCAPAIAN pingat emas di Sukan Komanwel memberikan suntikan semangat kepada gimnas negara, Amy Kwan untuk lebih kompetitif di Sukan Asia, Jakarta, Indonesia pada 18 hingga 22 September ini.
Amy mengakui cabaran di peringkat Asia lebih sukar kerana pencabarnya dari negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, China dan Korea Selatan.
“Setiap pertandingan mempunyai saingan yang berbeza, sudah pasti saingan di Sukan Asia lebih sukar. Ia juga merupakan penampilan pertama saya di Sukan Asia nanti.
Perkara paling penting adalah kami (gimnas) perlu memberikan persembahan paling terbaik dalam pertandingan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang awal pagi ini.
Amy yang meraih pingat emas acara riben pada Sukan Komanwel itu turut meraih pingat perak berpasukan menerusi gandingan bersama Koi Sie Yan dan Izzah Amzan serta pingat gangsa dalam individu keseluruhan.
Sie Yan turut meraih pingat perak melalui acara individu aparatus bola dan aparatus belantan.
Ketiga-tiga gimnas negara itu hanya berehat dua hari sebelum menggalas cabaran di Kejohanan Gimnastik Berirama Senior Asia ke-10 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 29 April hingga 2 Mei ini.- Bernama
Raih Emas Di Sukan Komanwel, Amy Kwan Semakin Bersemangat
Reviewed by uMieySurianie
on
April 15, 2018
Rating:
No comments: