Seo Services

Penceraian di Sarawak amat membimbangkan

Kes penceraian dalam kalangan pasangan Islam dan bukan Islam di Sarawak adalah membimbangkan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri, Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), jumlah penceraian dalam kalangan pasangan Islam pada tahun 2012 adalah 1,440 kes dan meningkat kepada 1,739 kes tahun lalu.

Bagi kes pasangan bukan Islam mengikut sumber daripada Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, ia mencatat 916 kes pada tahun 2011 dan meningkat kepada 1,039 kes pada tahun 2012.

Beliau berkata sementara mengikut sumber Pejabat Daerah, kes di bawah Undang-Undang Adat Bumiputera turut menunjukkan peningkatan iaitu 433 kes pada tahun 2012 berbanding 325 kes pada tahun 2011.

"Berdasarkan statistik berkenaan, jumlah kes penceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam dan pasangan bukan beragama Islam adalah tidak jauh bezanya, kedua-duanya amat membimbangkan," katanya ketika merasmikan Seminar Lelaki Pelindung Wanita anjuran bersama Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, Ikram Sarawak dan Jais di Kuching hari ini.

Fatimah berkata bagi mengatasi masalah penceraian, antara usaha yang dilakukan ialah mengadakan makmal pemantapan institusi keluarga oleh Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak.

Katanya makmal berkenaan mengenal pasti polisi, program dan sistem sokongan sedia ada bagi menangani isu di setiap peringkat perkahwinan dengan mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Beliau berkata terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kes penceraian seperti tidak bersedia untuk berkahwin, tidak mengenali pasangan sepenuhnya, kedudukan kewangan yang tidak kukuh, kursus praperkahwinan yang tidak komprehensif dan perkahwinan bukan dengan kehendak.

"Masalah komunikasi dan keganasan terhadap pasangan turut menyebabkan berlaku penceraian," tambahnya.

Beliau berkata masalah juga timbul selepas perkahwinan berakhir apabila bekas suami gagal mematuhi perintah mahkamah berkaitan pembiayaan saraan dan penjagaan anak serta tempat tinggal untuk wanita yang kena cerai dan anak-anaknya.

Sementara itu semasa memberitahu pemberita, Fatimah berkata kerajaan negeri tidak menyokong perkahwinan terpaksa yang berpunca daripada kes rogol kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga selalunya tidak kekal lama.

Beliau turut meminta supaya pihak lelaki yang melakukan perbuatan itu dikenakan tindakan undang-undang.

Mengenai program pengukuhan institusi rumah tangga dalam kalangan pasangan bukan Islam, katanya program berkenaan yang dikenali sebagai 'seat belting marriage' sudah dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata menerusi program itu yang sudah diamalkan di lebih 280 buah negara, pasangan yang baru berkahwin dikehendaki menghadiri bengkel selama tujuh minggu bagi memperkukuh kasih sayang dalam perkahwinan mereka.- Bernama

Penceraian di Sarawak amat membimbangkan Penceraian di Sarawak amat membimbangkan

Reviewed by Admin on May 13, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.