BEIJING 1 Mei - Sekurang-kurangnya tiga terkorban, manakala 79 yang lain cedera dalam satu serangan di sebuah stesen kereta api di Urumqi, di Xinjiang, pada hari terakhir lawatan Presiden China, Xi Jinping ke wilayah bergolak itu, lewat semalam.
Agensi berita tempatan Xinhua melaporkan, dalam serangan itu, penyerang turut bertindak menikam beberapa penumpang dengan sebilah pisau sebelum meletupkan bahan letupan di stesen kereta api berkenaan.
Menurut seorang saksi, letupan berlaku kira-kira pukul 7.10 malam waktu tempatan di kawasan bagasi di tingkat bawah antara pintu masuk stesen kereta api dan perhentian bas awam.
Xinhua yang memetik pegawai Parti Komunis melaporkan, seramai empat orang turut cedera parah dalam serangan itu, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Stesen itu kemudian ditutup buat sementara dan perkhidmatan ditangguhkan sebelum dibuka semula sekitar jam 9 malam di bawah kawalan pasukan polis.
Serangan tersebut berlaku pada hari yang sama Jinping mengakhiri lawatan pertamanya ke Xinjiang, kawasan yang didiami majoriti kumpulan etnik Islam Uighur.
Bagaimanapun maklumat tidak dikeluarkan berhubung sama ada Presiden masih berada di Xinjiang ketika insiden letupan tersebut berlaku.
Pertempuran maut sering berlaku antara penduduk Uighur dan pihak berkuasa di Xinjiang, namun pentadbiran tempatan menyatakan kejadian itu berpunca daripada aktiviti keganasan sementara kumpulan hak asasi berkata insiden tersebut didorong oleh penindasan budaya.
Sebagai reaksi kepada serangan itu, Jinping menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap dalang serangan ganas itu dan meminta supaya kegiatan tersebut dibanteras segera.
Sementara itu, sorang wanita terbunuh, manakala sembilan yang lain cedera hari ini dalam satu kejadian letupan bom berkembar yang berlaku dalam dua gerabak kereta api di Chennai, selatan India.
Letupan itu berlaku ketika kereta api tersebut dalam perjalanan dari Bangalore dan menghampiri stesen Chennai ketika India sedang menghadapi proses pilihan raya Parlimen.
Pengarah Urusan Indian Railways, Rakesh Misra berkata, mangsa, wanita berumur 22 tahun, dilaporkan maut selepas satu daripada bom diletakkan di bawah kerusinya dan meletup pada pukul 7 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia). - AFP
Serangan Nekad Di Stesen Kereta Api Di China Dan India
Reviewed by Unknown
on
May 02, 2014
Rating:
No comments: