Seo Services

Benarkah lelaki anak mak tidak macho?



"Momma's Boy" bukanlah gelaran yang menarik untuk didengar buat lelaki dewasa kerana kebanyakan gelaran ini merujuk kepada anak lelaki yang tidak pandai berdikari, mengada-ngada, terlebih manja dan ada juga yang mengatakan gelaran ini sesuai kepada anak lelaki yang kurang jantan. Betul ke?

Jangan mudah melatah apabila entri kali ini mungkin membuatkan anda merasa kurang selesa tetapi hakikatnya ia hanyalah pendapat dari sesetengah pihak. So, chill lah!

Lelaki anak emak dikatakan lebih mementingkan pandangan emaknya berbanding pandangan orang lain baik teman baik, kekasih atau isteri sendiri. Malah, golongan lelaki anak emak ini juga sering dianggap anak lelaki yang sukar mencari jodoh kerana tidak percaya kepada sesiapa melainkan ibu sendiri.

Setiap apa yang dilakukan perlu dirujuk kepada emak baik dari segi pandangan memilih bakal isteri, memilih barang-barang, mencari destinasi percutian, memilih makanan sehinggalah bab meminta pandangan emak sama ada boleh mengikut rakan keluar menonton wayang, bersukan dan sebagainya.

Pandangan ini diakui oleh seorang teman yang telah berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan anak emak. Menurut Mastura, 31, terdapat kebaikan dan keburukan apabila berkahwin dengan anak emak ini.

"Sebelum berkahwin sehinggalah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun, saya memang cukup masak dengan keputusan yang dibuat oleh suami. Setiap perbincangan pasti terselit pandangan emaknya. Dari keputusan mahu pindah rumah sehinggalah kami mahu keluar berjalan berdua pun pasti emaknya dibawa sekali.

Mula-mula memang rasa tidak puas hati tapi lama-kelamaan saya sudah biasa kerana mana mungkin saya sebagai isteri berhak memutuskan hubungan antara anak lelaki dengan seorang emak. Jika dilihat dari sudut positif, setiap kali emak mertua masuk campur, masalah kami akan cepat selesai. Maklumlah emak lebih banyak makan garam. Dari segi keburukan pula, saya rasa tidak bebas. Kadang-kadang kecil hati juga tetapi sikap itu hanyalah sementara," terangnya.

Bagi Zam pula, tidak ada salahnya menjadi anak emak. Dalam agama Islam sendiri setiap anak dituntut mentaati ibu bapanya, malah ibu diletakkan di tahap tertinggi hinggakan Nabi Muhammad SAW menyebut ‘ibu’ sebanyak tiga kali apabila ditanya siapakah yang perlu diberi perhatian terlebih dulu.

Kesimpulannya, sama ada anda anak emak atau bukan, anda perlu mempunyai sikap-sikap bertanggungjawab terhadap orang-orang di sekeliling. Sebagai lelaki anak emak, tidak semestinya anda tidak berhak, tidak bijak membuat keputusan dan hanya bergantung kepada emak. Kelebihan anda menjadi anak emak adalah anda lebih menghormati kaum wanita. Jika anda pandai memujuk dan mengambil hati seorang emak, anda pasti handal mengambil hati pasangan anda. Bukankah itu ciri-ciri lelaki macho?
Benarkah lelaki anak mak tidak macho? Benarkah lelaki anak mak tidak macho? Reviewed by Unknown on August 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.