Seo Services

28 Individu Ditangkap Dalam Operasi Penguatkuasaan JHS


KUCHING: Seramai 28 individu telah ditangkap dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dari 1 Januari hingga 30 Oktober tahun ini.

Menurut Jurucakap JHS menerusi kenyataan akhbar di sini kelmarin, jumlah tersebut berdasarkan 13 kes yang direkodkan setakat 30 Oktober lalu membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Hutan 2015 (Cap. 71), Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Daripada 28 orang suspek tersebut, tujuh orang yang ditangkap atas kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 iaitu memiliki dan menjual hidupan liar tanpa permit.

“Manakala tiga orang pula ditangkap atas kesalahan menceroboh kawasan taman negara dan 18 suspek pula ditangkap atas kesalahan di bawah Ordinan Hutan kerana memiliki hasil hutan tanpa diambil cukai dan memiliki dokumen perjalanan yang luput tempoh,” kata JHS.

Kata JHS lagi, dua kes yang membabitkan kesalahan di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 telah didakwa di mahkamah.

Jelasnya, kes pertama melibatkan pencerobohan dalam kawasan Taman Negara Loagan Bunut, Miri, membabitkan dua orang yang telah dijatuhkan hukuman denda masing-masing RM6,000.

“Kami juga telah menyita jengkaut yang digunakan manakala kes kedua pula melibatkan pencerobohan di Taman Negara Similajau, Bintulu yang mana mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang.

“Sebagai tambahan kedua-dua pesalah di atas turut dijatuhi hukuman penjara masing-masing selama lapan dan enam bulan,” kata JHS.

Sehubungan itu, JHS mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak awam serta agensi penguatkuasaan seperti Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Peguam Negeri Sarawak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Kastam, SFC, PUSAKA, HTSB dan pihak berkuasa tempatan yang telah memberi kerjasama dalam segala bentuk bantuan bagi memastikan ketiga-tiga ordinan berkenaan dikuatkuasakan di Sarawak.

Mengenai JHS, ia merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan tiga ordinan perhutanan di Sarawak iaitu Ordinan Hutan 2015 (Cap. 71), Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. -UB-
28 Individu Ditangkap Dalam Operasi Penguatkuasaan JHS 28 Individu Ditangkap Dalam Operasi Penguatkuasaan JHS Reviewed by Unknown on November 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.