Seo Services

PM Jamin Tangani Isu Kenaikan Kos Sara Hidup


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan menangani isu kenaikan kos sara hidup yang menjadi rintihan rakyat dan banyak dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang berakhir hari ini.

Berucap semasa menggulung perhimpunan itu, Najib menjelaskan bahawa peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan faktor luar kawalan seperti penurunan harga minyak dunia dan penguncupan ekonomi China serta faktor 'legacy problem'.

Najib berkata beliau mengarahkan kementerian berkaitan supaya memantau kenaikan harga barang selain mengambil beberapa pendekatan termasuk menaikkan kadar gaji minimum bagi membantu rakyat.

Mengulas mengenai kenaikan tambang Express Rail Link (ERL) daripada RM35 kepada RM55 yang akan bermula pada tahun hadapan misalnya, ia terpaksa dibuat berdasarkan perjanjian konsesi jangka panjang yang ditandatangani antara kerajaan dan syarikat YTL pada tahun 1997.

"Perjanjian yang saya sifatkan sebagai berat sebelah. Harga berdasarkan 'projection traffic' dan harga naik setiap lima tahun. Bila saya naik (menjawat) sebagai perdana menteri, saya kata, jangan naik.

"Empat belas tahun tak naik tapi pampasannya RM2.9 bilion. Sebab itulah kita terpaksa naikkan kepada RM55. Kalau tidak, kita parah," katanya.

Pada 1 Dis lalu, Express Rail Link Sdn Bhd mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 berkuatkuasa 1 Jan 2016 selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melibatkan perjalanan sehala dari Stesen KL Sentral ke KLIA/KLIA2.

Najib berkata antara langkah menangani kos pengangkutan itu ialah memberi diskaun sebanyak 30 peratus kepada pemegang kad Siswa 1Malaysia, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Presiden UMNO itu berkata penjawat awam di Putrajaya yang menggunakan pas bulanan pengangkutan awam itu juga akan diberikan pengurangan tambang, namun tidak menjelaskan secara lanjut.

Beliau juga telah meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus daripada harga tiket bagi pelajar berumur tujuh hingga 18 tahun dan penuntut universiti yang menunjukkan kad pelajar dalam masa terdekat.

Selain itu, Najib juga meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk lebih proaktif dalam menjalankan penguatkuasaan dan sentiasa turun padang bagi mengawal kenaikan harga barang.

"Periksa dan tambah penguatkuasaan di lapangan. Jika (kempen) kawalan harga barang musim perayaan perlu dilanjutkan, lanjutkan lagi. Kekalkan harga dan jangan bagi sesuka hati," katanya.

Mengenai kenaikan pendapatan, Najib berkata kerajaan juga menyasarkan nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang kepada 40 peratus, berbanding 32 peratus pada ketika ini bagi membantu rakyat berdepan dengan situasi kenaikan harga barang.

"Gaji minima penjawat awam pun kita naikkan kepada RM1,200. Tapi gaji naik, produktiviti juga perlu bertambah. Pencen pun kita akan tengok," katanya.

Mengulas lanjut mengenai faktor luar kawalan berikutan kenaikan kos sara hidup masa kini, Najib berkata penguncupan ekonomi China dan penurunan ketara harga minyak dunia menyebabkan Malaysia akan kehilangan hasil berjumlah RM30 bilion pada tahun hadapan.

"Cuba bayangkan jika kita ada RM30 bilion ini...tapi saya nak sebut bahawa kita akan buat sedaya upaya kita (tangani masalah kenaikan kos sara hidup ini)," katanya.

-- BERNAMA
PM Jamin Tangani Isu Kenaikan Kos Sara Hidup PM Jamin Tangani Isu Kenaikan Kos Sara Hidup Reviewed by Unknown on December 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.