Seo Services

Penubuhan Kelab Antijenayah Antara Cara Bantu Banteras, Kurang Jenayah


LUNDU: Sarawak melihat penubuhan kelab antijenayah yang diwujudkan di kesemua 32 daerah negeri ini sebagai satu cara untuk membantu pihak berkuasa dalam membanteras dan mengurangkan berlakunya jenayah.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Cawangan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais berkata, cadangan mengenai perkara berkenaan telah dibuat dan ia diteliti dengan serius.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) itu berkata ia amat penting dalam membantu agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Hutan serta agensi lain dalam memerangi serta mengurangkan jenayah.

“Dalam usaha kita membanteras dan mengurangkan jenayah, satu cadangan untuk menubuhkan kelab antijenayah di semua 32 daerah di seluruh negeri ini telah dibuat.

“Ini kerana kita merasakan bahawa masyarakat perlu membantu agensi-agensi penguatkuasaan mengurangkan dan membanteras jenayah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pendidikan MCPF Sarawak di SMK Lundu di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengarah Unit Keselamatan Negeri di Pejabat Ketua Menteri Datuk Dr Yusoff Nook.

Naroden menegaskan, masyarakat perlu memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa memerangi jenayah dan menanam sikap antijenayah.

“Jenayah adalah ‘produk’ yang dilakukan oleh masyarakat dan memberi kesan kepada komuniti maka seluruh masyarakat perlu memainkan peranan mereka serta membantu pihak berkuasa (memerangi jenayah),” ujarnya.

Jelas beliau, adalah penting untuk menanam sikap antijenayah bermula dari keluarga sama ada di kampung, taman perumahan, bandar atau bandar raya.

“Jika ia diamalkan, saya percaya jenayah akan berkurangan,” katanya sambil menambah bahawa peningkatan penduduk disebabkan penghijrahan yang mencari pekerjaan antara punca jenayah.

Menurut Naroden, kadar penduduk yang semakin meningkat tidak dapat menandingi jumlah anggota di agensi penguatkuasaan yang memerlukan komuniti membantu agensi penguatkuasaan.

Menteri Muda Perancangan Sumber itu mengakui bahawa jenayah tidak dapat sama sekali dihapuskan tetapi ia dapat dikurangkan dengan drastik jika masyarakat memainkan peranan dengan berkongsi maklumat melalui media sosial dan Rakan Cop.

Beliau menggesa agar taman perumahan, kampung, pemimpin masyarakat dan sekolah menubuhkan kumpulan terutama untuk berkongsi maklumat tentang aktiviti jenayah bagi memaklumkan perkara berkenaan kepada agensi penguatkuasaan.

Naroden menggesa kanak-kanak sekolah untuk tidak terlibat dalam jenayah, tetapi menghabiskan masa terluang dengan pendidikan.

“Anda (kanak-kanak sekolah) tidak boleh buang masa anda dengan membabitkan diri dalam jenayah, tetapi menghabiskan masa anda untuk belajar dan menyumbang kepada keluarga anda, masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata program itu akan terus diperluaskan ke sekolah-sekolah menengah yang lain kerana jenayah seperti samseng, buli dan dadah berlaku di kalangan remaja pada usia itu.

Lebih 800 pelajar SMK Lundu menghadiri majlis itu, yang juga termasuk ceramah oleh bekas penagih dadah, AD Leong dan demonstrasi oleh unit anjing polis dan T-Baton. - UB

Penubuhan Kelab Antijenayah Antara Cara Bantu Banteras, Kurang Jenayah Penubuhan Kelab Antijenayah Antara Cara Bantu Banteras, Kurang Jenayah Reviewed by uMieySurianie on November 18, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.